Archive for August, 2008

Hargai Perjuangan Kemerdekaan

Sunday, August 24th, 2008

Jika tanya anak-anak tentang kemerdekaan, tidak semua antara mereka yang tahu menjelaskan apa itu kemerdekaan. Malah cukup malang jika masih ramai lagi di kalangan dewasa berstatus anak Malaysia yang tidak tahu betapa pentingnya kemerdekaan.

Adakah merdeka itu apabila diadakan konsert pada malam sebelum detik 12? Adakah merdeka itu apabila dibakar seberapa banyak atau ribuan ringgit bunga api atau mercun setelah sampai detik 12 malam? Atau adakah merdeka itu hanya sekadar melihat perarakan di Dataran Merdeka atau di Putrajaya? Atau adakah merdeka itu hanya memberi kefahaman bahawa pada hari tersebut seluruh negeri di Malaysia cuti umum dan bersantai di rumah?

Di sekolah, murid diajar tentang erti kemerdekaan melalui mata pelajaran Kajian Tempatan. Namun cukupkah sekadar itu jika ianya tidak disertai dengan didikan masyarakat tentang bagaimana menghargai nilai kemerdekaan? Agak sedih bila mengetahui pada malam sambutan kemerdekaan ada di kalangan anak-anak muda yang ‘menggila’ di konsert-konsert yang dianjurkan, merempit di jalanraya, malah melakukan pelbagai perbuatan maksiat seperti zina dan minum arak. Di mana nilai kemerdekaan?

Ayuhlah bersama kita membantu mendidik anak-anak agar erti dan nilai kemerdekaan ini dihargai dan dipertahankan. Tidak kira apa bangsa, parti politik, agama dan sebagainya… kemerdekaan adalah hak milik seluruh rakyat Malaysia dan ianya mesti dipertahankan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KEPADA SEMUA WARGA MALAYSIA.

Lirik lagu tema sambutan ulangtahun kemerdekaan ke – 51

 PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
 
 Kini Semangat Jalan Seiring
 Satu Amanah Kerjasama
 Jadi Teras Bangsa Mulia
 Sehati Sejiwa
 
 Bangun Membantu Agar Sepakat
 Moga Terserlah Perpaduan
 Agar Teguh Dipersada
 Dalam Hidup Harmoni
 
 Sirami Rasa Kasih Sayang
 Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
 Nurani Ikhlas
 Dihati Murni
 Menjadi Kekuatan Kita
 
 Bersatu…….Bersatu
 Bersatu Gagah Bercerai Rebah
 Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
 Perpaduan Teras Kejayaan
 
 Berpadu……Berpadu
 Berpadu Bulat Kata Sepakat
 Menjadi Cita Negara Jaya
 Perpaduan Teras Kejayaan
 Perpaduan Teras Kejayaan
 Perpaduan Teras Kejayaan

Lagu Tema Kemerdekaan :

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!

Popularity: 44% [?]

Bahang UPSR Kian Terasa

Tuesday, August 12th, 2008

Minggu ini bermula ujian percubaan UPSR peringkat negeri (12 hingga 14 Ogos). Ini bermakna perhitungan hari kepada semua calon UPSR sudah bermula setelah selesai menjawab soalan percubaan peringkat daerah baru-baru ini. Pihak sekolah terus-menerus membantu pelajar-pelajar yang akan menduduki UPSR pada awal September nanti dengan pelbagai cara dan strategi, antaranya memberikan latihan gerak gempur, motivasi, teknik menjawab soalan dan kerohanian seperti mengadakan bacaan yasin & solat hajat bersama pelajar dan bersama ibubapa. Majlis Solat hajat bersama ibubapa akan diadakan pada 28 Ogos 2008 dan ibubapa/penjaga dijemput hadir.

Sepanjang bulan Ogos juga pihak sekolah tidak ketinggalan mengadakan program khas kemerdekaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke – 51, malah jika memasuki ke kawasan sekolah anda akan melihat bendera Malaysia gergasi yang dihasilkan oleh guru-guru dan murid pada tahun lepas digantung di salah satu bangunan sekolah. Segala yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendidik dan menanamkan semangat patriotisme kepada semua pelajar.

Kurang seminggu lagi cuti persekolahan pertengahan penggal 2 bermula (16 hingga 24 Ogos). Harapan kami agar semua pelajar terus-menerus mengulangkaji pelajaran dan tidak membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!

Lagu Sekolah :

Popularity: 76% [?]