Archive for October, 2008

Peperiksaan Selesai

Saturday, October 25th, 2008

Setelah seminggu berhempas pulas menjawab soalan² peperiksaan akhir tahun, semua murid SKTP akhirnya dapat menarik nafas lega kerana dapat bercuti dan berehat selamat 4 hari bermula hari ini (25 Okt). Cuti sempena perayaan Deepavali pada 27 Okt bersambung ke hari Selasa bila sahaja pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) meluluskan permohonan cuti khas peristiwa pada 28 Okt. Bukan murid saja, guru² pun tidak kurang gembira bila permohonan cuti tersebut diluluskan. :) Maklumlah, keletihan mengendalikan Kem Perdana dulu masih belum hilang lagi…

Namun harus diingat, ‘kemerdekaan’ itu bukan bermakna buku diketepikan. Pelajar seharusnya sentiasa ingat bahawa tugas dan peranan utama mereka tidak boleh diabaikan sepenuhnya walaupun peluang dan hak untuk berehat itu tetap ada. Enjoylah sekejap sekadar releasekan tension.

Guru² tentunya sedang dan akan sibuk menanda kertas² soalan peperiksaan yang bertimbun-timbun, ditambah dengan pelbagai tugas pengkeranian yang tidak pernah putus² datang. Begitulah tugas guru, nampak relaks pada pandangan umum tapi hakikatnya… hanya warga pendidik yang tahu.

Terima kasih kepada Cikgu Helmi & Cikgu Izhan yang menggantikan sementara Cikgu Murni & Cikgu Hasri yang bercuti 3 bulan kerana mengikuti kursus di institusi perguruan. Khidmat mereka tamat minggu ini kerana Cikgu Hasry dan Cikgu Murni akan kembali ke sekolah mulai Rabu minggu hadapan.

Warga SKTP masih merasa kesedihan yang dialami oleh Cikgu Khadeeja yang baru sahaja kematian anak disebabkan jangkitan virus. Semoga beliau dan keluarga tabah menghadapi dugaan Allah yang besar ini.

Hakikatnya SKTP tiada guru beragama hindu dan berbangsa India pada masa ini dan hanya terdapat beberapa orang pelajar yang beragama hindu dan berbangsa India, namun saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Happy Deepavali kepada semua pelajar dan ibubapa yang merayakannya. Semoga perpaduan kita sentiasa terjalin buat selamanya dan di mana sahaja.

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!

Lagu Sekolah :

Sekolah Kebangsaan Taman Permata's Facebook profile

Popularity: 51% [?]

Peperiksaan Akhir Tahun 2008

Saturday, October 18th, 2008

Suasana hari raya masih lagi dirasai. Malah pihak sekolah juga tidak ketinggalan menyambut hari raya ini bersama dengan seluruh warga SKTP dengan mengadakan jamuan khas hari raya melibatkan setiap kelas, termasuk prasekolah dan pendidikan khas. Sambutan meriah ini telah selesai diadakan pada 18 Oktober 2008 (Jumaat) yang mana murid bukan saja mengadakan jamuan untuk kelas masing-masing, malahan membuat kunjung-mengunjung ke kelas-kelas yang lain dan menikmati juadah yang pelbagai. Hanya…. duit raya je yang tiada. :D

Walau sehebat mana pun kemeriahan sambutan raya yang belum selesai, pihak sekolah mengharapkan supaya semua pelajar tidak leka kerana bermula 20 Oktober peperiksaan akhir tahun akan dijalankan dan berakhir pada 24 Oktober. Peperiksaan ini sangat penting kerana ianya akan menentukan kedudukan atau status kelas yang akan dihuni oleh pelajar setelah persekolahan bermula pada 2009 nanti.

Ibubapa harus mempastikan agar pelajar hadir ke sekolah sepanjang peperiksaan dijalankan. Sekiranya gagal menghadirkan diri disebabkan kesihatan atau kecemasan, pelajar mesti mengemukakan surat daripada pihak klinik atau hospital, atau surat makluman daripada ibubapa menyatakan sebab-sebab kegagalan hadir ke sekolah untuk menjalani peperiksaan. Surat edaran makluman tentang peperiksaan ini telah dikirimkan melalui pelajar kepada semua ibubapa.

Selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar SKTP.

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!

Lagu Sekolah :

Popularity: 75% [?]