Sedang saya mengarang post ini, semua warga sekolah sedang bercuti (termasuk saya) bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina. SKTP mendapat cuti tambahan yang dipohon oleh pihak sekolah pada hari Rabu 28 Januari 2009. Boleh la merancang cuti untuk balik ke kampung.
Setelah kami menutup web dan blog selama hampir 2 hari, beberapa kemaskini telah dilakukan. Alhamdulillah, kami cuba menapak selangkah lagi dengan membuka forum yang memberi peluang untuk warga sekolah, bekas pelajar dan guru, ibubapa, PIBG dan pengunjung setia web sekolah bersama-sama kami berbincang seterusnya merapatkan lagi hubungan silaturrahim yang telah sedia terjalin.
Anda boleh mendaftar dan menjadi sebahagian warga forum kami dengan melayari pautan di bawah
Pada 31 Januari 2009 (Sabtu), sekolah akan menganjurkan satu program yang dinamakan ROAD RUN SKTP 2009 (dulu dikenali sebagai Larian Permata) bertujuan mencungkil bakat murid-murid berdasarkan larian jarak jauh. Larian tersebut akan diadakan di sekitar perumahan Taman Permata dan melibatkan pelajar tahun 4 hingga tahun 6.
Pada masa ini, sekolah sedang dihujani dengan aktiviti latihan berteraskan sukan kerana pihak sekolah perlu menghantar wakil peserta atau pasukan ke kejohanan peringkat zon dan daerah. Ibubapa yang anaknya dipilih oleh pihak sekolah sebagai peserta diharap dapat memberikan sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya.
Laman web sekolah dan blog ini akan ditutup sementara pada 10 & 11 January atas urusan penyelenggaraan dan penegemaskinian data persekolahan untuk 2009. Kami akan beroperasi semula pada 12 Januari 2009, jika semua perkara dapat diselesaikan mengikut perancangan. Kita hanya mampu merancang, ketentuan adalah urusan Allah.
Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan pihak kami melalui telefon atau emel. Cadangan dan pandangan amat dialukan. Harap maklum.
Selamat tahun baru hijrah 1430 dan selamat tahun baru masihi 2009. Tarikh 1 Januari adalah cuti umum bagi seluruh negara, namun warga pendidik di SKTP tetap meneruskan perjuangan demi memartabatkan anak bangsa walaupun terpaksa mengorbankan cuti tersebut (lagi pun dah lama bercuti… ).
Hari ini merupakan Hari Pendaftaran/Transisi Tahun 1 dan Pendaftaran Prasekolah yang merupakan program khas untuk memberi taklimat kepada ibubapa murid yang terlibat tentang perjalanan sesi persekolahan yang akan datang sebagai persediaan kepada anak-anak yang baru pertama kali mengenal apa itu alam persekolahan. Sekalung tahniah kepada ibubapa yang hadir. (Gambar sebahagian dari program tersebut boleh dilihat di ruangan Galeri Gambar di dalam web sekolah)
Sudah tentu persediaan yang direncanakan oleh ibubapa kepada anak-anak sudah mencukupi kerana persekolahan bakal bermula pada 5hb Januari ini. Berbelanja secara berhemah. Yang pasti ianya lengkap terutamanya buku dan peralatan persekolahan anak-anak. Jangan pula membiarkan anak-anak tertekan disebabkan kelengkapan utama persekolahan mereka tidak mencukupi menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran terganggu.
Guru-guru telah mula bermesyuarat sebagai persediaan persekolahan 2009 sejak Isnin yang lepas (30hb Disember 2008) dan akan berakhir pada 2hb Januari 2009. Semoga permulaan persekolahan 2009 nanti menjanjikan satu azam baru yang pastinya membawa kejayaan buat semua. Insya-Allah.
Selamat Kembali Ke Sekolah dengan wajah yang ceria dan jiwa yang bersemangat.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.