Lama tidak kemaskini blog ni. Sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti yang tidak pernah habis-habis. Begitulah dunia pendidikan, nampak pada mata kasar seolah-oleh tugas pendidik paling rileks.. balik tengah hari dan banyak cuti sekolah. Tapi jika diamati secara jujur, tugas guru sangat berat kerana produknya adalah melahirkan insan berguna.. bukannya menghasilkan sebuah bangunan, makanan atau kenderaan.
Bulan puasa bukannya bulan menghentikan segala aktiviti. Aktiviti sepanjang puasa tetap diteruskan, apatah lagi sambutan kemerdekaan berlaku di bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah, pelbagai kempen telah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan, antaranya ialah Kempen Sifar Lewat dan Kempen Budi Bahasa. Sambutan kemerdekaan peringkat sekolah juga telah dilaksanakan dengan mengadakan pelbagai persembahan patriotik dan acara kemuncak.
Esok adalah hari terakhir sekolah sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Alhamdulillah, pihak sekolah baru sahaja selesai mengadakan Majlis Khatam al-Quran, sumbangan anak yatim, tahlil arwah, berbuka puasa, solat hajat UPSR dan solat terawih. Terima kasih kepada pihak PIBG dan semua ibu bapa yang telah memberi sumbangan wang.
SKTP akan bercuti selama hampir 2 minggu bermula 4 September sehingga 16 September. Sekolah akan dibuka semula pada 17 September (Jumaat). Perlu diingat bahawa 21 September hingga 23 September adalah Peperiksaan UPSR bagi tahun 6, manakala ujian bulanan bagi pelajar tahun 1 hingga tahun 5.
Pelbagai acara besar akan berlangsung selepas hari raya nanti, antaranya ialah Hari Usahawan dan Reunion (Karnival Jom Ke SKTP) dan Kem Perdana Unit Uniform. Jadi jangan lupa untuk terus memberi sokongan kepada pelbagai aktiviti sekolah.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Selamat balik kampung, berhati-hati di jalanraya. Jumpa lagi….
Alhamdulillah, Hari Akademik yang dijadualkan pada 7 Julai telah selesai. Tahniah dan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir, walaupun sibuk dengan kerja dan tugasan masing-masing, tapi tetap meluangkan masa untuk hadir demi anak-anak. Kami yakin, ibu bapa seperti ini adalah ibu bapa yang cemerlang yang mahukan kejayaan untuk anak-anak. Kepada ibu bapa yang sememangnya tiada kesempatan, jangan risau kerana anda boleh hadir bila-bila masa sahaja ke sekolah berjumpa guru-guru.
Tidak lama lagi semua umat Islam akan menyambut Ramadhan. Tentu pelbagai persediaan ibu bapa yang dilakukan untuk menyambut bulan yang mulia itu. Pihak sekolah juga sedang merancang pelbagai lagi aktiviti yang akan dilaksanakan pada masa akan datang. Namun demikian, kesibukan yang paling jelas ialah kepada para murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.
Antara aktiviti besar yang bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah ialah Majlis Re-Union Mega SKTP (Alumni), Kem Perdana Unit Beruniform, Hari Usahawan/Hari Ko-Kurikulum, Hari Kanak-Kanak dan Hari Anugerah Pelajar Cemerlang.
Semoga segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya, insya-Allah.
Musim bola sepak piala dunia muncul lagi. Tempoh sebulan yang sangat merisaukan pihak sekolah. Kerisauan itu sememangnya berlaku. Akhir-akhir ini terdapat pelajar yang sering mengantuk di dalam kelas ketika sesi pengajaran & pembelajaran. Bila ditanya apa sebab, jawapan yang jelas.. “saya tengok bola..”.
Seringkali pihak sekolah, guru besar dan guru-guru mengingatkan pelajar supaya tidak menonton perlawanan bola sepak yang boleh mengakibatkan gangguan ketika belajar, tapi apakan daya.. pihak sekolah hanya mampu menegur dan menasihati, tapi perbuatan itu dilakukan di rumah. Pihak sekolah sangat mengharapkan kerjasama pihak ibubapa/penjaga supaya memantau anak-anak agar tidak menonton perlawanan bola sepak pada waktu tengah malam dan awal pagi kerana ianya jelas mengganggu proses pembelajaran pelajar tersebut.
Minat anak-anak sangat bagus jika digalakkan asalkan ianya tidak menjejaskan fokus utama mereka. Kerjasama semua pihak sangat diharapkan.
Jangan lupa untuk menghadirkan diri pada Hari Akademik SKTP yang akan diadakan pada 7 Julai 2010 (Rabu). Pada hari tersebut ibubapa berpeluang bertemu guru dan membincangkan tentang prestasi akademik anak masing-masing bersama guru kelas dan guru mata pelajaran masing.
SKTP baru sahaja selesai mengadakan Kem Motivasi UPSR 2010 bertempat di UIA Gombak selamat 3 hari bermula 13hb Mei dan berakhir hari ini 15hb Mei 2010. Malah hari ini juga SKTP mengadakan aktiviti gotong-royong perdana bersama ibubapa bertujuan membersihkan kawasan persekitaran sekolah.
Sedar atau tidak anda bahawa cemerlang atau tidak kehidupan seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibubapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Setiap tahun.. 16 Mei, warga guru diraikan dalam sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Sememangnya guru adalah insan yang sangat mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olej Anas bin Malik r.a: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan”.
Sirah Rasulullah s.a.w. juga memaparkan kepada kita bahawa disamping menjadi guru, baginda s.a.w. juga adalah merupakan pelajar yang sentiasa menerima didikan dan asuhan dari Allah s.w.t, oleh itu guru adalah sebagai pendidik dan pada masa yang sama guru juga merupakan pelajar yang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan semasa. Budaya menuntut ilmu sepanjang hayat seharusnya dihayati oleh setiap guru dan segenap lapisan masyarakat. Tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.
Cuba perhatikan, sekarang guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial di kalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang menggunung daripada masyarakat kepada guru, sikap sebahagian ibubapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa guru. Tapi biar sejuta cabaran mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah. Hebat…
Aspirasi negara dalam bidang pendidikan adalah untuk membina masyarakat yang sejahtera, harmoni serta mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t. Bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah sangat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 18: “Allah menerangkan (kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”.
Kita semua, sebagai anggota masyarakat tentu seharusnya rasa terpanggil untuk bersama dengan warga guru bagi melahirkan generasi insan kelas pertama yang berjiwa “ULUL ALBAB”. Tugas mendidik dan menangani gejala sosial sewajarnya dilakukan secara bersama antara ibubapa, masyarakat dan guru, seperti kata pepatah “BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING”. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi: “…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya”. (Surah al-Maidah : 2)
Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Di samping ibubapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibubapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak seperti gejala merokok, suka membuang masa, sukakan hiburan yang melampau, penyalahangunaan dadah, amalan pergaulan bebas dan sebagainya. Kita semua sedia sedar bahawa akhlak mulia merupakan teras kepada pembinaan insan yang hebat.
Saiyidina Ali Karramah Allahu Wajhah pernah berpesan: “Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab”.
Hubungan baik antara ibubapa dengan pihak sekolah amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. PIBG seharusnya memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anak-anak. Ibubapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.
Akhir-akhir ni cuba anda perhatikan di akhbar dan tv, pandangan negatif yang tidak berasas terhadap para guru perlu dikikis, dan pada masa yang sama guru juga hendaklah sama-sama menilai diri jangan jadi seperti pepatah melayu “KERANA SETITIK NILA HABIS ROSAK SUSU SEBELANGA”, ibubapa juga sepatutnya bersungguh-sungguh dan sedia berkorban harta benda dan tenaga bagi mencapai kecemerlangan anak-anak. Kata Imam Al-Syafie bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan 6 perkara iaitu “KECERDIKAN, KESUNGGUHAN, KEMAJUAN, PERBELANJAAN YANG CUKUP, SELALU MENDAMPINGI GURU DAN MASA YANG LAMA”.
Jika kita berjaya mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia yang berilmu, maka sudah tentu kita dapat melihat dan melahirkan wajah pemimpin negara berilmu dan beriman di masa akan datang. Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah: “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.
Kepada semua guru, SELAMAT HARI GURU. Kepada anda dan para pelajar, raikan dan ucaplah penghargaan anda kepada guru-guru jika berkesempatan, siapalah kita jika tanpa guru yang pernah mendidik kita selama ini. Perjuangan guru adalah umpama lilin membakar diri. Terima kasih, cikgu…
Sambutan Hari Guru peringkat sekolah ialah pada 17 Mei 2010 (Isnin). Harap maklum.
Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF SK Taman Permata kerana mendapat tempat ke-3 dalam Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) peringkat zon Hulu Kelang yang diadakan di SKTP (tuan rumah) pada 27 Mac 2010 yang lalu. Semoga kejayaan ini lebih memberi inspirasi kepada pelajar lain selepas kejayaan sekolah sebagai johan dalam pertandingan Story Telling peringkat zon yang lalu.
Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat kali kedua pada hari Khamis yang lalu dan insya-Allah pihak PIBG akan mengeluarkan Buletin PIBG buat kali pertama pada tahun ini. Buletin ini akan diedarkan kepada ibubapa dan penjaga sebelum acara Sukan Tahunan 2010 nanti (hujung minggu ini).
Apa yang menariknya ingin saya maklumkan di sini ialah berita baik kepada semua bekas pelajar, bekas guru dan bekas staf di SKTP bahawa pihak sekolah dan PIBG telah bersetuju untuk mengadakan RE-UNION yang dijangka diadakan pada 16 September 2010. YDP PIBG, Tuan Haji Muhammad Isa telah bersetuju menjadi penaung dan memberi sokongan penuh atas usaha murni ini. Hasrat ini dirancang ialah bertujuan untuk mengumpulkan semula semua bekas pelajar dan menyambung semula silaturrahim yang terputus sejak kali terakhir mereka meninggalkan sekolah ketika melangkah kaki ke tingkatan satu. Malah sebenarnya ramai daripada kalangan bekas pelajar yang melontarkan hasrat untuk berkumpul kembali bersama rakan-rakan lama.
Walaubagaimanapun, kami masih mencari individu-individu yang sudi tampil membantu merealisasikan re-union ini. Jika sesiapa berminat untuk menyertai jawatankuasa kerja, sila hubungi pihak sekolah melalui emel di bawah. Sesiapa sahaja dialu-alukan.
spermata@tm.net.my
Dijemput kepada semua hadir memeriahkan SUKAN TAHUNAN SKTP 2010 pada Sabtu ini (3 April 2010).
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.