Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF SK Taman Permata kerana mendapat tempat ke-3 dalam Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) peringkat zon Hulu Kelang yang diadakan di SKTP (tuan rumah) pada 27 Mac 2010 yang lalu. Semoga kejayaan ini lebih memberi inspirasi kepada pelajar lain selepas kejayaan sekolah sebagai johan dalam pertandingan Story Telling peringkat zon yang lalu.
Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat kali kedua pada hari Khamis yang lalu dan insya-Allah pihak PIBG akan mengeluarkan Buletin PIBG buat kali pertama pada tahun ini. Buletin ini akan diedarkan kepada ibubapa dan penjaga sebelum acara Sukan Tahunan 2010 nanti (hujung minggu ini).
Apa yang menariknya ingin saya maklumkan di sini ialah berita baik kepada semua bekas pelajar, bekas guru dan bekas staf di SKTP bahawa pihak sekolah dan PIBG telah bersetuju untuk mengadakan RE-UNION yang dijangka diadakan pada 16 September 2010. YDP PIBG, Tuan Haji Muhammad Isa telah bersetuju menjadi penaung dan memberi sokongan penuh atas usaha murni ini. Hasrat ini dirancang ialah bertujuan untuk mengumpulkan semula semua bekas pelajar dan menyambung semula silaturrahim yang terputus sejak kali terakhir mereka meninggalkan sekolah ketika melangkah kaki ke tingkatan satu. Malah sebenarnya ramai daripada kalangan bekas pelajar yang melontarkan hasrat untuk berkumpul kembali bersama rakan-rakan lama.
Walaubagaimanapun, kami masih mencari individu-individu yang sudi tampil membantu merealisasikan re-union ini. Jika sesiapa berminat untuk menyertai jawatankuasa kerja, sila hubungi pihak sekolah melalui emel di bawah. Sesiapa sahaja dialu-alukan.
spermata@tm.net.my
Dijemput kepada semua hadir memeriahkan SUKAN TAHUNAN SKTP 2010 pada Sabtu ini (3 April 2010).
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung PIBG selesai dijalankan walaupun secara pemerhatian saya kehadiran ibubapa agak mengecewakan. Apapun bagi saya, jika kurang ibubapa hadir ke mesyuarat PIBG bermakna mereka SANGAT BERPUAS HATI dengan prestasi sekolah. Jika banyak perkara yang tidak puas hati, tentu ramai yang datang untuk komen itu dan ini.
Agak menyedihkan kerana ada sesetengah ibubapa yang membuat tuduhan yang agak ‘keras’ kepada guru-guru di SKTP, sedangkan tidak berani tampil ke mesyuarat untuk memberi penjelasan tentang tuduhan yang dilemparkan. Janganlah bersikap ‘membaling batu sembunyi tangan’. Selalu-selalulah ke sekolah dan berkenalan dengan guru-guru, terutamanya berjumpalah guru-guru kelas yang juga bertindak seperti ‘ibubapa’ anak tuan-tuan/puan-puan ketika di sekolah.
Namun demikian, terima kasih dan tahniah kepada ibubapa/penjaga yang telah hadir ke Meyuarat Agung yang lepas, senarai AJK PIBG yang baru boleh dilihat di web utama sekolah.
Bermula bulan Februari menjanjikan aktiviti yang agak padat di SKTP. Antara aktiviti akan datang yang akan dijalankan ialah Larian Permata (Road Run), Kem Kepimpinan (KURKEP), Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah, Sukan Tahunan dan acara-acara sukan peringkat zon dan daerah. Hampir setiap petang padang SKTP digunakan oleh guru-guru bagi melatih murid-murid. Doakan kecemerlangan murid-murid SKTP dalam apa juga yang mereka ceburi.
Langgan SMSSKTP dan Buletin SKTP untuk mendapatkan maklumat terkini dan pantas daripada pihak sekolah. Jumpa lagi..
Saya menulis blog ini ketika saya sedang berada di kampung, bercuti. Terlalu banyak jemputan ke majlis perkahwinan dan jarang berkesempatan untuk meninjau blog ini. Dan tentunya sebilangan besar murid juga sedang berada di kampung untuk berjumpa datuk dan nenek masing-masing selepas berhempas-pulas membuat persediaan untuk peperiksaan pertengahan tahun yang berakhir sebelum cuti persekolahan, kecuali calon-calon UPSR yang berkemungkinan menghadiri kelas tambahan yang dianjurkan oleh sekolah atau pusat tuisyen berbayar. Walauapapun, selamat bercuti kepada semua.
Antara program sekolah yang bakal menyusul selepas cuti ialah Hari Terbuka Sekolah, Kem Motivasi Tahun 6, Lawatan ke Langkawi, Kem Beruniform dan peperiksaan percubaan UPSR.
Alhamdulillah, berakhir dua majlis yang dianjurkan sekolah walaupun agak mengecewakan. Mengecewakan kerana sikap sebilangan besar ibubapa yang masih ditakuk lama apabila pihak sekolah atau PIBG mengadakan sesuatu aktiviti atau majlis tetapi sambutannya dingin. Malah lebih mengecewakankan apabila majlis interaksi yang mensasarkan ibubapa/penjaga pelajar tahun 4, 5 dan 6 yang sepatutnya menjanjikan kehadiran sehingga melimpah ruah dewan, hanya kelihatan separuh kerusi yang disediakan masih kosong sehingga selesai majlis interaksi tersebut.
Majlis tersebut diadakan oleh pihak sekolah untuk kecemerlangan anak². Malah sesuai dengan tema majlis iaitu “Ibubapa Cemerlang Anak Gemilang”. Ke mana perginya ibubapa/penjaga yang lain? Takkan semua yang tidak hadir itu dikekang oleh kesibukan yang sukar dielak?
Namun demikian, rasa terkilan kami (pihak sekolah dan AJK PIBG) terubat sedikit bila bermulanya majlis forum keibubapaan yang dipanelkan oleh Ustaz Wan Akasyah Wan Abdul Hamid & Ustaz Ismail Hasyim kerana ramai hadirin yang hadir walaupun jumlahnya bukanlah menepati sasaran sebenar kami. Namun demikian, pihak jawatankuasa memohon maaf kepada hadirin yang hadir kerana Ustazah Nor Bahyah Mahamood yang dijadualkan menjadi salah seorang panel forum tidak dapat bersama kerana masalah jadual penerbangan di Pulau Pinang, oleh sebab itu beliau digantikan oleh Ustaz Ismail Hasyim yang juga seorang penceramah terkenal dan hebat.
Berilah sokongan untuk guru² demi kecemerlangan anak² dan kegemilangan sekolah. Terima kasih kepada semua ibubapa/penjaga dan hadirin yang hadir untuk kedua-dua majlis tersebut.
Pada 14 Julai 2007 Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bacathon SKTP 2007 telah diadakan di Bilik Gerakan SKTP. Ini bermakna projek mega PIBG tahun ini sudah memulakan perancangan setelah mendapat kelulusan daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah Gombak.
Projek Bacathon ini akan dilancarkan pada 30 Ogos 2007 oleh ADUN Hulu Kelang, YB Dato’ Hj. Ahmad bin Bujang. Manakala kutipan derma melalui kad bermula pada 1 September 2007 hingga 31 Oktober 2007. PIBG dan pihak sekolah mensasarkan kutipan sebanyak RM70,000 bertujuan untuk penambahbaikkan pusat sumber sekolah, mengisi tabung PIBG dan menaiktarafkan surau sekolah.
Projek ini telah pun bermula dengan program pra bacathon seperti murid mengisi sinopsis buku yang dibaca melalui projek NILAM yang dilancarkan pada 16 Julai 2007.
Sokongan semua pihak sangat diharapkan bagi menjayakan Bacathon SKTP 2007 ini terutamanya ibubapa/penjaga. Bantulah untuk kecemerlangan dan kegemilangan murid SK Taman Permata dengan kemudahan dan prasarana yang lebih selesa.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.