Lama tidak kemaskini blog ni. Sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti yang tidak pernah habis-habis. Begitulah dunia pendidikan, nampak pada mata kasar seolah-oleh tugas pendidik paling rileks.. balik tengah hari dan banyak cuti sekolah. Tapi jika diamati secara jujur, tugas guru sangat berat kerana produknya adalah melahirkan insan berguna.. bukannya menghasilkan sebuah bangunan, makanan atau kenderaan.
Bulan puasa bukannya bulan menghentikan segala aktiviti. Aktiviti sepanjang puasa tetap diteruskan, apatah lagi sambutan kemerdekaan berlaku di bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah, pelbagai kempen telah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan, antaranya ialah Kempen Sifar Lewat dan Kempen Budi Bahasa. Sambutan kemerdekaan peringkat sekolah juga telah dilaksanakan dengan mengadakan pelbagai persembahan patriotik dan acara kemuncak.
Esok adalah hari terakhir sekolah sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Alhamdulillah, pihak sekolah baru sahaja selesai mengadakan Majlis Khatam al-Quran, sumbangan anak yatim, tahlil arwah, berbuka puasa, solat hajat UPSR dan solat terawih. Terima kasih kepada pihak PIBG dan semua ibu bapa yang telah memberi sumbangan wang.
SKTP akan bercuti selama hampir 2 minggu bermula 4 September sehingga 16 September. Sekolah akan dibuka semula pada 17 September (Jumaat). Perlu diingat bahawa 21 September hingga 23 September adalah Peperiksaan UPSR bagi tahun 6, manakala ujian bulanan bagi pelajar tahun 1 hingga tahun 5.
Pelbagai acara besar akan berlangsung selepas hari raya nanti, antaranya ialah Hari Usahawan dan Reunion (Karnival Jom Ke SKTP) dan Kem Perdana Unit Uniform. Jadi jangan lupa untuk terus memberi sokongan kepada pelbagai aktiviti sekolah.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Selamat balik kampung, berhati-hati di jalanraya. Jumpa lagi….
Persekolahan 2010 membuka tirai dengan penuh bergaya. Seronok melihat anak-anak ke sekolah berpakaian serba baru dan wajah yang penuh keceriaan.
Ibubapa yang baru pertama kali menghantar anak ke tahun satu tentunya mempunyai cerita dan pengalaman yang pelbagai. Maklumlah, anak sulung bersekolah…
Apapun, harapan pihak sekolah agar SKTP terus bertambah cemerlang pada tahun ini setelah agak malap dalam aktiviti ko-kurukulum sepanjang tahun 2009. Insya Allah, mudah-mudahan dengan adanya sokongan padu ibubapa dan PIBG, kami yakin harapan itu dapat dicapai dan kembali mantap sepertimana kecemerlangan tahun 2008.
Tahniah kepada ibubapa yang membantu menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Hari pertama tentu seronok bagi anak-anak, namun keseronokan akan hilang jika ada kelengkapan persekolahan tidak mencukupi atau tidak lengkap. Harapan kami agar ianya tidak berterusan mengganggu pembelajaran anak-anak nanti.
Kami berharap ibubapa dapat mempastikan kehadiran anak-anak dapat hadir ke sekolah menepati masa yang ditetapkan. Kehadiran lewat merupakan masalah disiplin utama di SKTP yang perlu dibendung oleh semua pihak.
Penantian calon UPSR akhirnya berakhir sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan oleh guru penyelaras tahun enam iaitu Puan Nor Zalina. Pelbagai reaksi wajah dapat dilihat, ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kekecewaan, namun ada jugak yang buat tidak kisah walaupun keputusannya tidak menggembirakan langsung. Begitu realitinya, kesungguhan tentunya membuahkan hasil. Namun demikian, pelajar harus ingat bahawa takdir adalah ketentuan Allah dan kegagalan kali ini bukan bererti berakhirnya perjuangan. Tentunya jalan itu masih terlalu jauh.
Keputusan tahun ini :
Jumlah calon : 100 orang
Calon 5A : 13 orang
Calon 4A 1B : 18 orang
Peratus lulus : 83%
Analisa lanjut boleh dilihat di web sekolah. Berikut saya abadikan beberapa foto keputusan UPSR 2008…
Puan Nor Zalina mengumumkan keputusan.
Antara ibubapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak.
Calon berdebar menunggu keputusan.
Calon mendengar taklimat daripada Puan Nor Zalina sebaik sahaja keputusan diumumkan.
Calon yang mendapat 5A.
Calon yang mendapat 4A 1B.
Tahniah kepada semua calon yang berjaya. Yang kurang bernasib baik, teruskan usaha untuk PMR.
Setelah seminggu berhempas pulas menjawab soalan² peperiksaan akhir tahun, semua murid SKTP akhirnya dapat menarik nafas lega kerana dapat bercuti dan berehat selamat 4 hari bermula hari ini (25 Okt). Cuti sempena perayaan Deepavali pada 27 Okt bersambung ke hari Selasa bila sahaja pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) meluluskan permohonan cuti khas peristiwa pada 28 Okt. Bukan murid saja, guru² pun tidak kurang gembira bila permohonan cuti tersebut diluluskan. Maklumlah, keletihan mengendalikan Kem Perdana dulu masih belum hilang lagi…
Namun harus diingat, ‘kemerdekaan’ itu bukan bermakna buku diketepikan. Pelajar seharusnya sentiasa ingat bahawa tugas dan peranan utama mereka tidak boleh diabaikan sepenuhnya walaupun peluang dan hak untuk berehat itu tetap ada. Enjoylah sekejap sekadar releasekan tension.
Guru² tentunya sedang dan akan sibuk menanda kertas² soalan peperiksaan yang bertimbun-timbun, ditambah dengan pelbagai tugas pengkeranian yang tidak pernah putus² datang. Begitulah tugas guru, nampak relaks pada pandangan umum tapi hakikatnya… hanya warga pendidik yang tahu.
Terima kasih kepada Cikgu Helmi & Cikgu Izhan yang menggantikan sementara Cikgu Murni & Cikgu Hasri yang bercuti 3 bulan kerana mengikuti kursus di institusi perguruan. Khidmat mereka tamat minggu ini kerana Cikgu Hasry dan Cikgu Murni akan kembali ke sekolah mulai Rabu minggu hadapan.
Warga SKTP masih merasa kesedihan yang dialami oleh Cikgu Khadeeja yang baru sahaja kematian anak disebabkan jangkitan virus. Semoga beliau dan keluarga tabah menghadapi dugaan Allah yang besar ini.
Hakikatnya SKTP tiada guru beragama hindu dan berbangsa India pada masa ini dan hanya terdapat beberapa orang pelajar yang beragama hindu dan berbangsa India, namun saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Happy Deepavali kepada semua pelajar dan ibubapa yang merayakannya. Semoga perpaduan kita sentiasa terjalin buat selamanya dan di mana sahaja.
Suasana hari raya masih lagi dirasai. Malah pihak sekolah juga tidak ketinggalan menyambut hari raya ini bersama dengan seluruh warga SKTP dengan mengadakan jamuan khas hari raya melibatkan setiap kelas, termasuk prasekolah dan pendidikan khas. Sambutan meriah ini telah selesai diadakan pada 18 Oktober 2008 (Jumaat) yang mana murid bukan saja mengadakan jamuan untuk kelas masing-masing, malahan membuat kunjung-mengunjung ke kelas-kelas yang lain dan menikmati juadah yang pelbagai. Hanya…. duit raya je yang tiada.
Walau sehebat mana pun kemeriahan sambutan raya yang belum selesai, pihak sekolah mengharapkan supaya semua pelajar tidak leka kerana bermula 20 Oktober peperiksaan akhir tahun akan dijalankan dan berakhir pada 24 Oktober. Peperiksaan ini sangat penting kerana ianya akan menentukan kedudukan atau status kelas yang akan dihuni oleh pelajar setelah persekolahan bermula pada 2009 nanti.
Ibubapa harus mempastikan agar pelajar hadir ke sekolah sepanjang peperiksaan dijalankan. Sekiranya gagal menghadirkan diri disebabkan kesihatan atau kecemasan, pelajar mesti mengemukakan surat daripada pihak klinik atau hospital, atau surat makluman daripada ibubapa menyatakan sebab-sebab kegagalan hadir ke sekolah untuk menjalani peperiksaan. Surat edaran makluman tentang peperiksaan ini telah dikirimkan melalui pelajar kepada semua ibubapa.
Selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar SKTP.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.