Dunia internet sudah menjadi sebahagiaan dari kehidupan pada hari ini. Malah pelbagai perkara dan sumber yang boleh diperolehi melalui internet, sama ada ianya perkara baik atau buruk, benar atau salah. Maklumat yang diperolehi juga terlalu luas yang mampu merubah persepsi dan pemikiran seseorang.
Apa yang saya nak utarakan di sini ialah sejauhmanakah pemantauan dilakukan terhadap penggunaan internet di kalangan anak-anak kita? Apa kesan internet kepada anak-anak? Adakah anda tahu laman web mana dan apa yang dikunjungi oleh mereka? Sejauhmana internet mampu memberi kesan kepada tingkahlaku anak-anak kita seharian?
Sebagai ibubapa, kita harus malah wajib untuk mempelajari selok belok penggunaan komputer dan internet, walaupun secara asas. Ini sangat penting demi memantau anak-anak menggunakan teknologi canggih ini dengan lebih selamat. Berbagai-bagai laman sosial terdapat di internet.. banyak kebaikannya, namun perlu diingat ianya juga mengundang banyak keburukannya.. jika disalahguna, bukan sahaja kepada kanak-kanak malah orang dewasa juga. Pemantauan ibubapa sangat perlu bagi menangani salah guna internet yang mampu mengubah tingkahlaku mereka. Tahukah anda ramai di kalangan pelajar-pelajar SKTP yang berusia 10 hingga 12 tahun yang aktif di laman sosial Facebook dan Myspace?
Sangat sedih bila ada sesetengah ibubapa yang membeli komputer dan melanggan talian internet di rumah sedangkan langsung tidak tahu tentang komputer dan internet. Lagi membimbangkan jika hanya membiarkan anak-anak mengendalikan tanpa ada pemantauan.
Berikut tips yang mungkin berguna kepada ibubapa..
1. Letak komputer di ruang tamu/ruang rehat/tempat umum dan bukannya di dalam bilik agar mudah mengawasi anak anda.
2. Tanda ‘Bookmarks’ laman web yang selalu dikunjungi oleh anak anda supaya mudah untuk anda melayari laman tersebut.
3. Kongsi akaun emel dengan anak anda agar mudah anda mengawasi mesej yang diterima.
4. Luangkan masa melayari internet bersama anak anda agar mudah anda menjelaskan tabiat penggunaan internet yang betul.
5. Jangan benarkan anak anda menggunakan perkhidmatan ruang sembang di internet (chatting). Sekat dengan ciri-ciri keselamatan yang ada atau yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan. Malah terdapat banyak perisian penapisan khusus di pasaran (special filtering software).
6. Selalu semak bil kad kredit anda dan penggunaan bil telefon dan internet supaya tiada penggunakan yang melebihi had atau luar kebiasaan.
7. Mana-mana emel atau mesej yang diterima berunsur lucah atau ugutan, sila laporkan kepada pihak penyedia perkhidmatan talian.
8. Pantau ‘cookies’ atau hentikan fungsinya. Hubungi pihak penyedia perkhidmatan internet untuk maklumat lanjut. ‘Cookies’ mampu mengumpulkan segala data peribadi yang boleh digunapakai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
9. Pastikan komputer anda dilengkap dengan perisian anti-virus yang baik dan selalu dikemaskini. Pastikan ianya mampu mengawal segala aktiviti komputer anda termasuk internet. Pelaburan sedikit mampu menangani kesan negatif yang lebih serius. Jangan mudah tertipu dengan jurujual yang hanya menawarkan perisian anti-virus yang hanya ’sekadar ada dan wujud, tapi fungsinya tiada’.
Semoga kita bersama-sama ambil peka tentang teknologi yang ada, jangan ketinggalan dan terus tertinggal ke belakang hanya semata-mata kerana kita beralasan tidak berminat atau sudah berusia. Masa depan anak-anak perlu diutamakan.
Alhamdulillah, bertemu juga dengan bulan yang penuh keberkatan, kerahmatan dan pengampunan. Semoga bulan Ramadhan tahun ini akan memberikan peningkatan iman yang tinggi kepada kita semua untuk meneruskan kehidupan.
Pada 31 Ogos kita akan menyambut hari Kemerdekaan yang ke-52. Hari yang istimewa untuk tahun ini kerana hari tersebut jatuh pada bulan Ramadhan. Semoga ianya menambahkan rahmah dan keinsafan kepada kita, terutamanya para belia dan remaja yang tidak merasai zaman kesusahan sewaktu menghadapi detik-detik mencapai kemerdekaan.
Layari web berikut untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kemerdekaan negara,
Sudah terlalu lama saya tidak menulis di ruangan blog sekolah. Namun tetap aktif di ruangan forum. Masa mesti dikejar, tapi seiring dengan keadaan semasa.. terasa seperti masa ditambah dengan enjin turbo kerana terlalu pantas. Terlalu banyak masa yang perlu dirancang dan dilaksanakan oleh guru-guru demi murid/pelajar, sehinggakan adakalanya terpaksa mengorbankan masa bersama keluarganya sendiri. Itulah guru.
Tugas guru sekarang bukan seperti guru dahulu, guru dahulu hanya tertumpu kepada situasi murid di dalam keadaan sekeliling yang hampir seperti masyarakat dan keluarga, cabaran dan dugaan tetap ada. Namun sekarang keadaan itu ditambah dengan gaya hidup dan faktor luaran yang terlalu mudah diperolehi oleh anak-anak seperti adanya siaran tv yang pelbagai channel 24 jam, filem-filem yang semakin berani menayangkan aksi-aksi ganas, tahyul dan berunsur cinta bebas/lucah membelakangkan nilai agama dan budaya, hiburan yang pelbagai genre.. sehinggakan irama nasyid pun sudah menjadi kabur arah tujuannya, peluang merentasi dunia dan alam maya dengan adanya kemudahan internet, malah sistem perhubungan yang membolehkan pergaulan bertambah tidak terkawal dengan adanya telefon bimbit atau ruang sembang di internet.
Persoalannya, salah siapa bila gejala sosial tidak terkawal?
Agak malang bila persoalan ini diutarakan, ada di antara masyarakat kita yang terus-menerus menuding jari kepada guru atau sistem pendidikan yang ada sekarang. Bila saja berlaku kes anaknya mencuri di sekolah, ada ibubapa yang mengatakan guru dan pihak sekolah yang tidak memantau disiplin murid di sekolah. Bila anaknya merokok, membuli dan merempit, guru dipersalahkan kerana tidak menerapkan ilmu sahsiah/agama kepada anak mereka. Namun pernah atau tidak, sebagai ibubapa, kita bertanya… di mana anak aku berada sekarang? apa yang anak aku buat sekarang? dengan siapa anak aku berkawan? adakah anak aku ada masalah dalaman? apa yang aku dah buat pada anak aku? wajarkah aku menghadiahkan sebuah motosikal kepada anak aku? wajarkah aku memberikan telefon bimbit kepada anak aku? wajarkah aku membiarkan anak aku menggunakan internet tanpa aku memantau? berapa kerap aku berbincang dengan anak?
Fikir-fikirkan…
Guru hanya mampu membantu, namun tempoh masa anak di rumah lebih banyak berbanding di sekolah. Dan perlu diingat bahawa sehebat mana perwatakan/perihatin seorang guru itu di mata murid/pelajar, tidak akan mampu mengatasi sentuhan kasih-sayang ibubapanya sendiri.
Tiada hari yang lebih keramat dan bermakna bagi seseorang guru, jika bukan HARI GURU yang disambut 16 Mei setiap tahun. Hari yang memartabatkan profesion perguruan.
Di SKTP, sambutan hari guru peringkat sekolah akan diadakan pada 18 Mei memandangkan Hari Guru tahun ini jatuh pada hari Sabtu. “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA” adalah tema yg dipilih menghiasi sambutan pada tahun ini. Diharapkan maksud tema tersebut bukan saja perlu diamati dan difahami oleh para guru, malah semestinya didalami oleh ibubapa dan masyarakat sejauhmanakah arah tujunya. Guru akan gagal membina budaya bangsa jika tiada sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat.
Khas kepada warga pendidik di SKTP, Selamat Hari Guru buat anda. Teruskan berjuang dengan ikhlas walau apa pun tanggapan negatif masyarakat dilontarkan. Bersama kita selami rintihan hati & jiwa warga guru, semoga ianya dapat membantu memartabatkan budaya bangsa & negara.
Berilah sedikit penghargaan kepada guru-guru walau sekadar ucapan “Terima kasih, cikgu!”
Selesai sahaja majlis sambutan Maulidurrasul peringkat sekolah pada 13 Mac 2009, warga sekolah bercuti bermula 14 Mac 2009 sehingga 22 Mac 2009. Berkemungkinan pelbagai perancangan telah dibuat oleh ibubapa bagi memenuhi ruang cuti anak-anak. Mungkin ada yang balik ke kampung, pergi melancong atau sekadar menghabiskan cuti di rumah.
Namun sebagai peringatan bahawa Ujian Bulanan (Mac) akan diadakan pada 24 Mac 2009 hingga 27 Mac 2009. Ujian tersebut penting kerana ianya menguji prestasi pelajar setakat 3 bulan pertama persekolahan, malah apa yang lebih utama ialah ianya juga akan mempengaruhi peratus keseluruhan prestasi kerana penilaian di akhir tahun akan dikira bermula dari ujian dan peperiksaan sepanjang tahun.
Pihak sekolah sangat berharap agar ibubapa dapat memantau cuti anak-anak dan mempastikan pengisian masa menjurus kepada pembelajaran mengulangkaji di rumah. Kesinambungan sangat perlu demi kecemerlangan anak-anak.
Kepada pelajar, gunakan masa cuti anda dengan perkara yang berfaedah. Selamat bercuti.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.