Terima Kasih, Cikgu!


SKTP baru sahaja selesai mengadakan Kem Motivasi UPSR 2010 bertempat di UIA Gombak selamat 3 hari bermula 13hb Mei dan berakhir hari ini 15hb Mei 2010. Malah hari ini juga SKTP mengadakan aktiviti gotong-royong perdana bersama ibubapa bertujuan membersihkan kawasan persekitaran sekolah.

Sedar atau tidak anda bahawa cemerlang atau tidak kehidupan seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibubapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Setiap tahun.. 16 Mei, warga guru diraikan dalam sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Sememangnya guru adalah insan yang sangat mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olej Anas bin Malik r.a: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan”.

Sirah Rasulullah s.a.w. juga memaparkan kepada kita bahawa disamping menjadi guru, baginda s.a.w. juga adalah merupakan pelajar yang sentiasa menerima didikan dan asuhan dari Allah s.w.t, oleh itu guru adalah sebagai pendidik dan pada masa yang sama guru juga merupakan pelajar yang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan semasa. Budaya menuntut ilmu sepanjang hayat seharusnya dihayati oleh setiap guru dan segenap lapisan masyarakat. Tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.

Cuba perhatikan, sekarang guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial di kalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang menggunung daripada masyarakat kepada guru, sikap sebahagian ibubapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa guru. Tapi biar sejuta cabaran mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah. Hebat…

Aspirasi negara dalam bidang pendidikan adalah untuk membina masyarakat yang sejahtera, harmoni serta mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t. Bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah sangat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 18: “Allah menerangkan (kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”.

Kita semua, sebagai anggota masyarakat tentu seharusnya rasa terpanggil untuk bersama dengan warga guru bagi melahirkan generasi insan kelas pertama yang berjiwa “ULUL ALBAB”.  Tugas mendidik dan menangani gejala sosial sewajarnya dilakukan secara bersama antara ibubapa, masyarakat dan guru, seperti kata pepatah “BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING”. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi: “…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya”. (Surah al-Maidah : 2)

Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Di samping ibubapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibubapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak seperti gejala merokok, suka membuang masa, sukakan hiburan yang melampau, penyalahangunaan dadah, amalan pergaulan bebas dan sebagainya. Kita semua sedia sedar bahawa akhlak mulia merupakan teras kepada pembinaan insan yang hebat.

Saiyidina Ali Karramah Allahu Wajhah pernah berpesan: “Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab”.

Hubungan baik antara ibubapa dengan pihak sekolah amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. PIBG seharusnya memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anak-anak. Ibubapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.

Akhir-akhir ni cuba anda perhatikan di akhbar dan tv, pandangan negatif yang tidak berasas terhadap para guru perlu dikikis, dan pada masa yang sama guru juga hendaklah sama-sama menilai diri jangan jadi seperti pepatah melayu “KERANA SETITIK NILA HABIS ROSAK SUSU SEBELANGA”, ibubapa juga sepatutnya bersungguh-sungguh dan sedia berkorban harta benda dan tenaga bagi mencapai kecemerlangan anak-anak. Kata Imam Al-Syafie bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan 6 perkara iaitu “KECERDIKAN, KESUNGGUHAN, KEMAJUAN, PERBELANJAAN YANG CUKUP, SELALU MENDAMPINGI GURU DAN MASA YANG LAMA”.

Jika kita berjaya mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia yang berilmu, maka sudah tentu kita dapat melihat dan melahirkan wajah pemimpin negara berilmu dan beriman di masa akan datang. Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah: “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Kepada semua guru, SELAMAT HARI GURU. Kepada anda dan para pelajar, raikan dan ucaplah penghargaan anda kepada guru-guru jika berkesempatan, siapalah kita jika tanpa guru yang pernah mendidik kita selama ini. Perjuangan guru adalah umpama lilin membakar diri. Terima kasih, cikgu… ;)

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah ialah pada 17 Mei 2010 (Isnin). Harap maklum.

Hayati lagu berikut :

Berminat dengan artikel kami? Langgan sekarang untuk terkini!

Lagu Sekolah :

Popularity: 31% [?]

Tags: , ,

Selamat Hari Ibu


Siapakah kita jika tiada ibu? Adakah kita di dunia ini tanpa seorang ibu yang melahirkan kita ke dunia? Walau siapa pun kita, walau di mana pun kita.. kita semua datang daripada rahim seorang manusia yang bergelar ibu. Sejauhmana kita berkorban jiwa dan raga untuk insan yang bergelar ibu ini?

Agak malang bila mendengar kes pembuangan bayi di dada-dada akhbar dan berita tv. Keruntuhan moral sebegini sangat membimbangkan, apatah lagi ketika kita berhadapan dengan dunia tanpa sempadan ini yang menyogokkan kita dengan pelbagai sumber secara mudah dan percuma. Di mana sifat keibuan? Setinggi mana darjat keimanan?

Sempena Sambutan Hari Ibu pada 9 Mei 2010 (Ahad), marilah bersama-sama meraikan kegembiraan kepada seorang insan mulia yang bergelar ibu. Bukan bermakna tarikh itu sahaja masanya untuk kita membalas jasa dan pengorbanan ibu, malah ianya dituntut dalam Islam dilakukan pada setiap masa hingga ke akhir hayat. Sekurang-kurangnya kesibukan belajar dan bekerja selama ini yang membataskan masa kepada kita, dapat diperuntukan sepenuhnya pada satu hari khas ini untuk kita berkumpul bersama keluarga masing-masing meraikan ibu yang tersayang.

Banyak perkara yang boleh dilakukan.. asalkan ianya menggembirakan insan mulia ini. Tidak kiralah sama ada anda hanya menghadiahkan sekuntum bunga dan kad kepada ibu, atau hingga mampu menghadiahkan ibu mengerjakan umrah bersama-sama anda, namun apa yang penting bagi seorang ibu ialah tanda ingatan dan meluangkan masa bersama serta mengisi sebahagian kehidupannya bersama anak-anak tersayang.

Sayangilah ibu anda.. hormatilah dia..

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uh” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu pelajar SKTP. Semoga kegembiraan mengiringi kehidupan anda sekeluarga. :)

Hayati lagu berikut :

Berminat dengan artikel kami? Langgan sekarang untuk terkini!

Lagu Sekolah :

Popularity: 23% [?]

Tags: ,

Ilmu Sepanjang Hayat


Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah ayat 1 hingga 5 surah al-‘Alaq. Perintah iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ kepada Nabi  S.A.W,  adalah isyarat betapa Islam memberikan perhatian yang cukup besar tentang kepentingan ilmu dalam menentukan darjat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”.

Ketika menggesa umat Islam mengambil perhatian mengenai peringatan Allah itu, Rasulullah S.A.W bersabda: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Imam Ibnu Majah).

Pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah. Pendidikan sebenarnya bermula segera setelah anak lahir dan akan berterusan sehingga manusia meninggal dunia. Pada dasarnya sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seorang individu sekaligus meletakkan dasar pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutama melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkan sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke semasa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak.

Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat betapa besarnya penglibatan ibubapa dalam memajukan pendidikan anak-anak, maka besar pulalah kejayaan anak-anak dalam pendidikan. Dengan demikian Ibubapa tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaaan anak-anak. Ibubapa hendaklah memainkan peranan dan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan sekolah.

Satu lagi pihak yang turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti modal insan selepas ibubapa ialah guru-guru. Kadangkala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibubapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sesebuah sekolah. Sebagai langkah positif, maka ibubapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan dan kepercayaan besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar-pelajar mereka masing-masing.

Oleh itu kita berharap khususnya ibubapa jangan mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat lapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin keras  ke atas pelajar. Kita yakin tindakan tegas guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak pelajar agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Jika guru-guru bersikap sambil lewa dan tidak tegas dalam mengawal disiplin pelajar kerana takutkan ibubapa, maka ia akan merugikan ibubapa dan pelajar itu sendiri.

Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana guru memberi sumbangan yang besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap generasi. Rasulullah S.A.W menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu adalah orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah S.A.W bersabda: ”Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi).

Pada hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama sekali muda mudi kita dan pelajar-pelajar dalam pelbagai peringkat. Ini menunjukkan wujud tanda positif bahawa kesedaran menuntut ilmu semakin meningkat sama ada mereka dari bandar atau luar bandar. Berdasarkan kesedaran meningkat ini, maka kita melihat wujud persaingan sengit untuk mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat pertambahan orang mengejar ilmu dari masa ke semasa? Allah S.W.T menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Oleh sebab itulah maka Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di muka bumi ini. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah  al-Baqarah ayat 30: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini”.

Allah S.W.T. menciptakan bumi ini untuk manusia, untuk ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, alam sekitar dan planet-planet lain yang berkaitan. Perlu diingat… mentadbir muka bumi ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T.

Di samping itu manusia adalah makhluk yang tumbuh dan berkembang. Ia ingin mencapai satu tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh-tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.

Sebenarnya banyak kelebihan bagi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Antaranya dapat menghindarkan diri dari kejahilan, dapat membezakan antara yang benar dan tidak tidak benar. Selain itu segala kerja dan amalan yang dilaksanakannya tidak sia-sia, malah beroleh keredhaan Allah S.W.T serta memberi faedah kepada dirinya dan manfaat kepada orang lain. Dalam hubungan ini, Nabi junjungan kita pernah bersabda mengenai tiga amalan yang sentiasa berterusan. Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang ditinggalkannya atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannnya.” (Hadis riwayat Muslim). Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan survival mereka pada masa akan datang di dunia global yang penuh mencabar.

Marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Jadikanlah ia sebagai warisan generasi kita. Berbanggalah kita dengan menjadikan ilmu sebagai tuntutan sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan berilmu.. insya Allah kita menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti. Wallahu’allam. Jumpa lagi…

Berminat dengan artikel kami? Langgan sekarang untuk terkini!

Lagu Sekolah :

Popularity: 29% [?]

Tags: ,

Re-Union SKTP


Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF SK Taman Permata kerana mendapat tempat ke-3 dalam Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) peringkat zon Hulu Kelang yang diadakan di SKTP (tuan rumah) pada 27 Mac 2010 yang lalu. Semoga kejayaan ini lebih memberi inspirasi kepada pelajar lain selepas kejayaan sekolah sebagai johan dalam pertandingan Story Telling peringkat zon yang lalu.

Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat kali kedua pada hari Khamis yang lalu dan insya-Allah pihak PIBG akan mengeluarkan Buletin PIBG buat kali pertama pada tahun ini. Buletin ini akan diedarkan kepada ibubapa dan penjaga sebelum acara Sukan Tahunan 2010 nanti (hujung minggu ini).

Apa yang menariknya ingin saya maklumkan di sini ialah berita baik kepada semua bekas pelajar, bekas guru dan bekas staf di SKTP bahawa pihak sekolah dan PIBG telah bersetuju untuk mengadakan RE-UNION yang dijangka diadakan pada 16 September 2010. YDP PIBG, Tuan Haji Muhammad Isa telah bersetuju menjadi penaung dan memberi sokongan penuh atas usaha murni ini. Hasrat ini dirancang ialah bertujuan untuk mengumpulkan semula semua bekas pelajar dan menyambung semula silaturrahim yang terputus sejak kali terakhir mereka meninggalkan sekolah ketika melangkah kaki ke tingkatan satu. Malah sebenarnya ramai daripada kalangan bekas pelajar yang melontarkan hasrat untuk berkumpul kembali bersama rakan-rakan lama.

Walaubagaimanapun, kami masih mencari individu-individu yang sudi tampil membantu merealisasikan re-union ini. Jika sesiapa berminat untuk menyertai jawatankuasa kerja, sila hubungi pihak sekolah melalui emel di bawah. Sesiapa sahaja dialu-alukan.

spermata@tm.net.my

Dijemput kepada semua hadir memeriahkan SUKAN TAHUNAN SKTP 2010 pada Sabtu ini (3 April 2010). :)

Berminat dengan artikel kami? Langgan sekarang untuk terkini!

Lagu Sekolah :

Popularity: 31% [?]

Tags: , ,

Teruskan Perjuangan


Cuti persekolahan selama seminggu berakhir hari ini (21 Mac 2010). Saya kira sudah ramai pelajar yang kembali ke Kuala Lumpur, sama ada balik kampung atau bercuti di mana-mana destinasi pelancongan. Begitu juga guru-guru.

Pihak sekolah berharap segala persiapan untuk kembali ke sekolah esok telah disediakan, jangan pula sekembali ke sekolah nanti berbagai-bagai kelengkapan tiada atau tertinggal. Takkan hari pertama sekolah dah buat hal kot?

SKTP akan memulakan sesi persekolahan ini dengan pelbagai aktiviti yang sangat besar. Selaras dengan hasrat kementerian pelajaran yang mahu aktiviti sukan diberi penekanan yang serius, selain akademik, maka SKTP juga tidak mahu ketinggalan dalam usaha ini. Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah..

22 & 25 Mac 2010 – Acara Sukantara (Sukan Tahunan)

26 Mac 2010 – Acara Saringan (Sukan Tahunan)

27 Mac 2010 – Tuan rumah Majlis Tadarus Zon Hulu Kelang

3 April – Sukan Tahunan 2010

15 April – Pemantauan j-QAF oleh SPPIM (Sektor Pengurusan Pendidikan Islam & Moral) Jabatan Pelajaran Negeri Selangor

Harapan kami agar guru-guru dapat membahagikan masa yang terbaik untuk menjalankan segala aktiviti yang dirancangkan. Semoga kecemerlangan SKTP terus mencapai matlamatnya, insya-Allah. Jumpa lagi.. :)

Berminat dengan artikel kami? Langgan sekarang untuk terkini!

Lagu Sekolah :

Popularity: 35% [?]

Tags: , ,