Alhamdulillah, Hari Akademik yang dijadualkan pada 7 Julai telah selesai. Tahniah dan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir, walaupun sibuk dengan kerja dan tugasan masing-masing, tapi tetap meluangkan masa untuk hadir demi anak-anak. Kami yakin, ibu bapa seperti ini adalah ibu bapa yang cemerlang yang mahukan kejayaan untuk anak-anak. Kepada ibu bapa yang sememangnya tiada kesempatan, jangan risau kerana anda boleh hadir bila-bila masa sahaja ke sekolah berjumpa guru-guru.
Tidak lama lagi semua umat Islam akan menyambut Ramadhan. Tentu pelbagai persediaan ibu bapa yang dilakukan untuk menyambut bulan yang mulia itu. Pihak sekolah juga sedang merancang pelbagai lagi aktiviti yang akan dilaksanakan pada masa akan datang. Namun demikian, kesibukan yang paling jelas ialah kepada para murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.
Antara aktiviti besar yang bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah ialah Majlis Re-Union Mega SKTP (Alumni), Kem Perdana Unit Beruniform, Hari Usahawan/Hari Ko-Kurikulum, Hari Kanak-Kanak dan Hari Anugerah Pelajar Cemerlang.
Semoga segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya, insya-Allah.
Cuti persekolahan selama seminggu berakhir hari ini (21 Mac 2010). Saya kira sudah ramai pelajar yang kembali ke Kuala Lumpur, sama ada balik kampung atau bercuti di mana-mana destinasi pelancongan. Begitu juga guru-guru.
Pihak sekolah berharap segala persiapan untuk kembali ke sekolah esok telah disediakan, jangan pula sekembali ke sekolah nanti berbagai-bagai kelengkapan tiada atau tertinggal. Takkan hari pertama sekolah dah buat hal kot?
SKTP akan memulakan sesi persekolahan ini dengan pelbagai aktiviti yang sangat besar. Selaras dengan hasrat kementerian pelajaran yang mahu aktiviti sukan diberi penekanan yang serius, selain akademik, maka SKTP juga tidak mahu ketinggalan dalam usaha ini. Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah..
22 & 25 Mac 2010 – Acara Sukantara (Sukan Tahunan)
26 Mac 2010 – Acara Saringan (Sukan Tahunan)
27 Mac 2010 – Tuan rumah Majlis Tadarus Zon Hulu Kelang
3 April – Sukan Tahunan 2010
15 April – Pemantauan j-QAF oleh SPPIM (Sektor Pengurusan Pendidikan Islam & Moral) Jabatan Pelajaran Negeri Selangor
Harapan kami agar guru-guru dapat membahagikan masa yang terbaik untuk menjalankan segala aktiviti yang dirancangkan. Semoga kecemerlangan SKTP terus mencapai matlamatnya, insya-Allah. Jumpa lagi..
Perancangan mengadakan Hari Kemuncak Ko-Kurikulum akhirnya tercapai, hasil usaha dan titik peluh gigih para guru merancang dan merealisasikan program yang besar ini. Walaupun guru-guru dikekang oleh kesibukan aktiviti yang pelbagai, namun ternyata komitmen untuk menjayakan aktiviti demi anak didik dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Sokongan ibubapa sangat dihargai terutamanya peranan yang dimainkan oleh PIBG sebagai ‘backup’ sehingga aktiviti besar ini dilaksanakan. Ibubapa yang hadir sangat membanggakan pihak sekolah dan ternyata pihak sekolah sentiasa berusaha memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pelbagai aktiviti sekiranya sokongan ibubapa berterusan. Ibubapa yang masih belum bersedia hadir ke sekolah dalam aktiviti/program yang dirancang diharapkan mengubah ‘trend’ tersebut demi kecemerlangan anak-anak.
Berikut beberapa gambar yang dapat dirakamkan sepanjang program itu dilaksanakan:
Gambar di atas : Pertandingan Kawat Kaki antara Unit Beruniform
Gambar di atas : Pertandingan Catur Terbuka (Tahap 2)
Gambar di atas : Encik Arzaman selaku ketua hakim memberikan ulasan penghakiman kawat kaki.
Tahniah kepada pemenang. Anda boleh melihat keputusan acara yang dipertandingkan di dalam Forum SKTP.
Sedang saya mengarang post ini, semua warga sekolah sedang bercuti (termasuk saya) bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina. SKTP mendapat cuti tambahan yang dipohon oleh pihak sekolah pada hari Rabu 28 Januari 2009. Boleh la merancang cuti untuk balik ke kampung.
Setelah kami menutup web dan blog selama hampir 2 hari, beberapa kemaskini telah dilakukan. Alhamdulillah, kami cuba menapak selangkah lagi dengan membuka forum yang memberi peluang untuk warga sekolah, bekas pelajar dan guru, ibubapa, PIBG dan pengunjung setia web sekolah bersama-sama kami berbincang seterusnya merapatkan lagi hubungan silaturrahim yang telah sedia terjalin.
Anda boleh mendaftar dan menjadi sebahagian warga forum kami dengan melayari pautan di bawah
Pada 31 Januari 2009 (Sabtu), sekolah akan menganjurkan satu program yang dinamakan ROAD RUN SKTP 2009 (dulu dikenali sebagai Larian Permata) bertujuan mencungkil bakat murid-murid berdasarkan larian jarak jauh. Larian tersebut akan diadakan di sekitar perumahan Taman Permata dan melibatkan pelajar tahun 4 hingga tahun 6.
Pada masa ini, sekolah sedang dihujani dengan aktiviti latihan berteraskan sukan kerana pihak sekolah perlu menghantar wakil peserta atau pasukan ke kejohanan peringkat zon dan daerah. Ibubapa yang anaknya dipilih oleh pihak sekolah sebagai peserta diharap dapat memberikan sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya.
Seminggu lagi, persekolahan 2008 akan melabuhkan tirai. Warga sekolah, terutamanya pelajar akan bercuti panjang dengan bermacam-macam aktiviti cuti yang pelbagai. Harapnya berfaedah. Namun demikian, sepanjang seminggu sebelum persekolahan 2008 berakhir, pelbagai aktiviti yang penting perlu diselesaikan. Antara program mega sekolah terakhir ialah Hari Anugerah Pelajar Cemerlang (APC 2008) yang akan diadakan pada 15 November 2008 sebagai satu pengiktirafan di atas kejayaan dan pencapaian pelajar dalam akademik, ko-akademik dan ko-kurikulum.
Jika anda ke SKTP, anda akan menikmati satu pemandangan warna ungu/purple yang menghiasi bangunan blok sekolah. Malah persekitaran sekolah sedang mengalami satu proses penambahbaikkan dengan prasarana tandas yang baru dan bumbung yang ditukar ganti.
Alhamdulillah, pelbagai aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan baik sebaik saja persekolahan bermula selepas cuti hari raya. Antaranya ialah Kem Perdana, Hari Kemuncak Ko-Kurikulum, Kem Bestari Solat, Lawatan ke Melaka, Kem Pemantapan Solat Tahun 6 dan pelbagai lagi. Semoga apa yang dilakukan akan memberikan impak positif kepada pelajar SKTP.
Tahniah kepada Adik Nur Raudhah Nazran binti Nazari kerana telah membanggakan sekolah dan negeri Selangor dengan merangkul NAIB JOHAN Pertandingan Story Telling Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 5 – 7 November yang lalu. Tahniah juga kepada guru pengiring dan kedua ibubapa beliau.
Akhir sekali, diharap ibubapa/penjaga dapat meluangkan masa untuk hadir ke Majlis APC 2008 yang akan diadakan pada 15 November 2008 (Jumaat) di Dewan Permata, SKTP. Sokongan anda, inspirasi kami.
* Lihat gambar aktiviti di Galeri Gambar web sekolah.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.