Selesai sahaja majlis sambutan Maulidurrasul peringkat sekolah pada 13 Mac 2009, warga sekolah bercuti bermula 14 Mac 2009 sehingga 22 Mac 2009. Berkemungkinan pelbagai perancangan telah dibuat oleh ibubapa bagi memenuhi ruang cuti anak-anak. Mungkin ada yang balik ke kampung, pergi melancong atau sekadar menghabiskan cuti di rumah.
Namun sebagai peringatan bahawa Ujian Bulanan (Mac) akan diadakan pada 24 Mac 2009 hingga 27 Mac 2009. Ujian tersebut penting kerana ianya menguji prestasi pelajar setakat 3 bulan pertama persekolahan, malah apa yang lebih utama ialah ianya juga akan mempengaruhi peratus keseluruhan prestasi kerana penilaian di akhir tahun akan dikira bermula dari ujian dan peperiksaan sepanjang tahun.
Pihak sekolah sangat berharap agar ibubapa dapat memantau cuti anak-anak dan mempastikan pengisian masa menjurus kepada pembelajaran mengulangkaji di rumah. Kesinambungan sangat perlu demi kecemerlangan anak-anak.
Kepada pelajar, gunakan masa cuti anda dengan perkara yang berfaedah. Selamat bercuti.
Nampaknya tengkujuh dah berakhir, agak memberi impak juga kepada sebilangan penduduk terutamanya Kelantan dan Terengganu. Dalam masa yang sama juga negara dikejutkan dengan pelbagai berita dan kejadian yang mengejutkan. Namun sebagai hamba Allah, kita kena akur dengan ketentuan-Nya. Tentu apa yang berlaku mempunyai hikmah yang tersirat yang memerlukan kita berfikir.
Takziah kepada keluarga mangsa banjir yang meninggal dunia, begitu juga kepada keluarga yang terlibat dengan runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa (setakat ni belum pasti sama ada keluarga pelajar SKTP terlibat atau tidak dalam kejadian tersebut) dan tidak lupa juga kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan bas tempoh hari.
Takziah diucapkan kepada keluarga bekas Yang Di pertua PIBG, Allahyarham Tuan Haji Lamang yang kembali ke rahmatullah pada 4 Disember 2008. Semoga rohnya dicucuri rahmah oleh Allah Taala. Tidak lupa ucapan takziah drp pihak sekolah kepada salah seorang guru di SKTP iaitu Puan Sariyana yang baru saja kematian bapa mertuanya. Sesungguhnya kita tentunya akur dengan ketentuan Ilahi. Al-Fatihah.
Tahniah kepada beberapa orang guru SKTP yang berjaya bertukar ke negeri atau sekolah yang dipohon. Semoga kebahagiaan diperolehi ditempat yang baru. Terima kasih di atas segala jasa dan sumbangan yang ditaburkan di SKTP selama ini.
Cuti persekolahan masih panjang lagi, harapan kami agar pelajar dapat menggunakan masa cuti ini dengan perkara yang berfaedah, terutama mengulangkaji pelajaran. Ingat, tugas utama anda adalah belajar, jadi jangan diabaikan komitmen itu. Insya Allah kejayaan akan sentiasa mengiringi anda. Kepada pelajar tahun enam, bersedialah untuk ke tempat baru, jangan lupakan sekolah tempat anda mengenal apa itu A B C dan 1 2 3.
* Ibubapa yang ingin membeli peralatan sekolah dan buku, sila ke kedai buku sekolah. Dibuka jam 9 pagi hingga 3 petang setiap hari bekerja.
Seminggu lagi, persekolahan 2008 akan melabuhkan tirai. Warga sekolah, terutamanya pelajar akan bercuti panjang dengan bermacam-macam aktiviti cuti yang pelbagai. Harapnya berfaedah. Namun demikian, sepanjang seminggu sebelum persekolahan 2008 berakhir, pelbagai aktiviti yang penting perlu diselesaikan. Antara program mega sekolah terakhir ialah Hari Anugerah Pelajar Cemerlang (APC 2008) yang akan diadakan pada 15 November 2008 sebagai satu pengiktirafan di atas kejayaan dan pencapaian pelajar dalam akademik, ko-akademik dan ko-kurikulum.
Jika anda ke SKTP, anda akan menikmati satu pemandangan warna ungu/purple yang menghiasi bangunan blok sekolah. Malah persekitaran sekolah sedang mengalami satu proses penambahbaikkan dengan prasarana tandas yang baru dan bumbung yang ditukar ganti.
Alhamdulillah, pelbagai aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan baik sebaik saja persekolahan bermula selepas cuti hari raya. Antaranya ialah Kem Perdana, Hari Kemuncak Ko-Kurikulum, Kem Bestari Solat, Lawatan ke Melaka, Kem Pemantapan Solat Tahun 6 dan pelbagai lagi. Semoga apa yang dilakukan akan memberikan impak positif kepada pelajar SKTP.
Tahniah kepada Adik Nur Raudhah Nazran binti Nazari kerana telah membanggakan sekolah dan negeri Selangor dengan merangkul NAIB JOHAN Pertandingan Story Telling Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 5 – 7 November yang lalu. Tahniah juga kepada guru pengiring dan kedua ibubapa beliau.
Akhir sekali, diharap ibubapa/penjaga dapat meluangkan masa untuk hadir ke Majlis APC 2008 yang akan diadakan pada 15 November 2008 (Jumaat) di Dewan Permata, SKTP. Sokongan anda, inspirasi kami.
* Lihat gambar aktiviti di Galeri Gambar web sekolah.
Jika tanya anak-anak tentang kemerdekaan, tidak semua antara mereka yang tahu menjelaskan apa itu kemerdekaan. Malah cukup malang jika masih ramai lagi di kalangan dewasa berstatus anak Malaysia yang tidak tahu betapa pentingnya kemerdekaan.
Adakah merdeka itu apabila diadakan konsert pada malam sebelum detik 12? Adakah merdeka itu apabila dibakar seberapa banyak atau ribuan ringgit bunga api atau mercun setelah sampai detik 12 malam? Atau adakah merdeka itu hanya sekadar melihat perarakan di Dataran Merdeka atau di Putrajaya? Atau adakah merdeka itu hanya memberi kefahaman bahawa pada hari tersebut seluruh negeri di Malaysia cuti umum dan bersantai di rumah?
Di sekolah, murid diajar tentang erti kemerdekaan melalui mata pelajaran Kajian Tempatan. Namun cukupkah sekadar itu jika ianya tidak disertai dengan didikan masyarakat tentang bagaimana menghargai nilai kemerdekaan? Agak sedih bila mengetahui pada malam sambutan kemerdekaan ada di kalangan anak-anak muda yang ‘menggila’ di konsert-konsert yang dianjurkan, merempit di jalanraya, malah melakukan pelbagai perbuatan maksiat seperti zina dan minum arak. Di mana nilai kemerdekaan?
Ayuhlah bersama kita membantu mendidik anak-anak agar erti dan nilai kemerdekaan ini dihargai dan dipertahankan. Tidak kira apa bangsa, parti politik, agama dan sebagainya… kemerdekaan adalah hak milik seluruh rakyat Malaysia dan ianya mesti dipertahankan.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KEPADA SEMUA WARGA MALAYSIA.
Lirik lagu tema sambutan ulangtahun kemerdekaan ke – 51
PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa
Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni
Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita
Minggu ini bermula ujian percubaan UPSR peringkat negeri (12 hingga 14 Ogos). Ini bermakna perhitungan hari kepada semua calon UPSR sudah bermula setelah selesai menjawab soalan percubaan peringkat daerah baru-baru ini. Pihak sekolah terus-menerus membantu pelajar-pelajar yang akan menduduki UPSR pada awal September nanti dengan pelbagai cara dan strategi, antaranya memberikan latihan gerak gempur, motivasi, teknik menjawab soalan dan kerohanian seperti mengadakan bacaan yasin & solat hajat bersama pelajar dan bersama ibubapa. Majlis Solat hajat bersama ibubapa akan diadakan pada 28 Ogos 2008 dan ibubapa/penjaga dijemput hadir.
Sepanjang bulan Ogos juga pihak sekolah tidak ketinggalan mengadakan program khas kemerdekaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke – 51, malah jika memasuki ke kawasan sekolah anda akan melihat bendera Malaysia gergasi yang dihasilkan oleh guru-guru dan murid pada tahun lepas digantung di salah satu bangunan sekolah. Segala yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendidik dan menanamkan semangat patriotisme kepada semua pelajar.
Kurang seminggu lagi cuti persekolahan pertengahan penggal 2 bermula (16 hingga 24 Ogos). Harapan kami agar semua pelajar terus-menerus mengulangkaji pelajaran dan tidak membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.