Tiada hari yang lebih keramat dan bermakna bagi seseorang guru, jika bukan HARI GURU yang disambut 16 Mei setiap tahun. Hari yang memartabatkan profesion perguruan.
Di SKTP, sambutan hari guru peringkat sekolah akan diadakan pada 18 Mei memandangkan Hari Guru tahun ini jatuh pada hari Sabtu. “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA” adalah tema yg dipilih menghiasi sambutan pada tahun ini. Diharapkan maksud tema tersebut bukan saja perlu diamati dan difahami oleh para guru, malah semestinya didalami oleh ibubapa dan masyarakat sejauhmanakah arah tujunya. Guru akan gagal membina budaya bangsa jika tiada sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat.
Khas kepada warga pendidik di SKTP, Selamat Hari Guru buat anda. Teruskan berjuang dengan ikhlas walau apa pun tanggapan negatif masyarakat dilontarkan. Bersama kita selami rintihan hati & jiwa warga guru, semoga ianya dapat membantu memartabatkan budaya bangsa & negara.
Berilah sedikit penghargaan kepada guru-guru walau sekadar ucapan “Terima kasih, cikgu!”
Pada 16 Mei setiap tahun adalah satu tarikh keramat kepada semua pendidik yang bergelar guru atau cikgu di Malaysia. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.
Tarikh sambutan hari guru tidak sama antara satu negara negara satu negara yang lain. Oleh itu, 16 Mei bukanlah satu sambutan untuk guru secara global serata dunia. Walau apapun, itulah tarikh dan hari teristimewa kepada warga guru di seluruh Malaysia, dan ianya sudah pasti juga melibatkan warga pendidik di SKTP.
Inilah masanya jasa dan pengorbanan mereka dikenang. Inilah masanya penghargaan diberikan kepada mereka. Harus diingat, siapalah kita tanpa guru, siapalah kita tanpa cikgu. Guru bukan untuk dihina. Guru bukan untuk dijatuhkan martabatnya. Jangan hanya satu atau dua kes-kes ‘negatif’ berlaku melibatkan guru, kita ‘mencemarkan’ profesion tersebut. Namun agak sedih bila hakikat ini mula menular di kalangan masyarakat kita. Guru dipandang rendah kononnya berpendapatan rendah. Guru disaman kerana menganggap status guru boleh diperlekehkan. Harus diingat, guru hanyalah insan biasa yang sudah tentu ada salah dan silap.
Raikanlah bersama guru-guru, inilah masanya. Bangkitkan kembali martabat guru demi keutuhan dan kecemerlangan. Kehebatan seorang guru bukan kerana ketinggian ilmu semata-mata, tapi ia meliputi pengalaman, pengorbanan dan kesabaran.
Selamat Hari Guru kepada semua guru, khususnya warga pendidik Sekolah kebangsaan Taman Permata yang dicintai. Guru Cemerlang, Negara Terbilang!
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.