Agak lama saya tidak mencatat di blog ini kerana masa yang teramat terhad. Alhamdulillah, perjuangan pelajar tahun 6 akhirnya selesai dan hanya menunggu keputusan UPSR sahaja. Semoga kejayaan mengiringi mereka nanti, insya-Allah.
Pelbagai program sekolah telah dilaksanakan sejak catatan saya yang terakhir di blog ini. Antaranya ialah Majlis Khatam Al-Quran & Tahlil, Majlis Sambutan Hari Raya, Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dan kursus dalaman guru (LADAP) yang akan diadakan esok (10 Okt) dan Isnin (12 Okt).
Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah Hari Kemuncak Ko-Kurikulum 2009, Kem 1 Malaysia, peperiksaan akhir tahun, Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah dan Hari Anugerah Cemerlang (HAC 2009).
Berikut beberapa gambar yang sempat dirakam:
Gambar di atas : Sambutan Hari Raya
Gambar atas : Persediaan untuk Hari Ko-Kurikulum
Terima kasih kepada guru-guru yang mengadakan Jamuan Aidilfitri, terima kasih atas jemputan. Semoga dimurahkan rezeki dan dipanjang usia. Salam Aidilfitri.
Bahang UPSR nampaknya semakin terasa, terutamanya kepada semua calon UPSR dan khususnya guru-guru tahun 6 serta semua guru SKTP amnya. Tarikh yang dinantikan ialah pada 8 hingga 10 September 2009 (minggu depan). Namun demikian, usaha dan ikhtiar terus dilakukan oleh para guru bagi mempastikan kejayaan akan menjadi milik pelajar nanti. Hanya usaha daripada diri pelajar/calon itu sendiri sahaja hanya Allah sahaja yang tahu. Harapan pihak sekolah agar usaha seiring dilakukan oleh ibubapa/penjaga untuk menjanjikan kejayaan buat para pelajar.
Sepanjang bulan Ramadhan ini Panitia Pendidikan Islam menganjurkan program Tadarus Al-Quran kepada murid tahun 5 dan tahun 6 (selepas UPSR sahaja). Program ini akan diakhiri dengan majlis Khatam Al-Quran, memasak bubur lambuk, Berbuka Puasa, Tahlil dan Solat Terawih yang dijangka dan dirancang diadakan pada 16 September 2009 (Rabu). Semoga majlis ini akan mendapat sambutan yang baik daripada ibubapa/penjaga.
Penantian calon UPSR akhirnya berakhir sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan oleh guru penyelaras tahun enam iaitu Puan Nor Zalina. Pelbagai reaksi wajah dapat dilihat, ada yang menangis kegembiraan, ada yang menangis kekecewaan, namun ada jugak yang buat tidak kisah walaupun keputusannya tidak menggembirakan langsung. Begitu realitinya, kesungguhan tentunya membuahkan hasil. Namun demikian, pelajar harus ingat bahawa takdir adalah ketentuan Allah dan kegagalan kali ini bukan bererti berakhirnya perjuangan. Tentunya jalan itu masih terlalu jauh.
Keputusan tahun ini :
Jumlah calon : 100 orang
Calon 5A : 13 orang
Calon 4A 1B : 18 orang
Peratus lulus : 83%
Analisa lanjut boleh dilihat di web sekolah. Berikut saya abadikan beberapa foto keputusan UPSR 2008…
Puan Nor Zalina mengumumkan keputusan.
Antara ibubapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak.
Calon berdebar menunggu keputusan.
Calon mendengar taklimat daripada Puan Nor Zalina sebaik sahaja keputusan diumumkan.
Calon yang mendapat 5A.
Calon yang mendapat 4A 1B.
Tahniah kepada semua calon yang berjaya. Yang kurang bernasib baik, teruskan usaha untuk PMR.
Setelah seminggu berhempas pulas menjawab soalan² peperiksaan akhir tahun, semua murid SKTP akhirnya dapat menarik nafas lega kerana dapat bercuti dan berehat selamat 4 hari bermula hari ini (25 Okt). Cuti sempena perayaan Deepavali pada 27 Okt bersambung ke hari Selasa bila sahaja pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) meluluskan permohonan cuti khas peristiwa pada 28 Okt. Bukan murid saja, guru² pun tidak kurang gembira bila permohonan cuti tersebut diluluskan. Maklumlah, keletihan mengendalikan Kem Perdana dulu masih belum hilang lagi…
Namun harus diingat, ‘kemerdekaan’ itu bukan bermakna buku diketepikan. Pelajar seharusnya sentiasa ingat bahawa tugas dan peranan utama mereka tidak boleh diabaikan sepenuhnya walaupun peluang dan hak untuk berehat itu tetap ada. Enjoylah sekejap sekadar releasekan tension.
Guru² tentunya sedang dan akan sibuk menanda kertas² soalan peperiksaan yang bertimbun-timbun, ditambah dengan pelbagai tugas pengkeranian yang tidak pernah putus² datang. Begitulah tugas guru, nampak relaks pada pandangan umum tapi hakikatnya… hanya warga pendidik yang tahu.
Terima kasih kepada Cikgu Helmi & Cikgu Izhan yang menggantikan sementara Cikgu Murni & Cikgu Hasri yang bercuti 3 bulan kerana mengikuti kursus di institusi perguruan. Khidmat mereka tamat minggu ini kerana Cikgu Hasry dan Cikgu Murni akan kembali ke sekolah mulai Rabu minggu hadapan.
Warga SKTP masih merasa kesedihan yang dialami oleh Cikgu Khadeeja yang baru sahaja kematian anak disebabkan jangkitan virus. Semoga beliau dan keluarga tabah menghadapi dugaan Allah yang besar ini.
Hakikatnya SKTP tiada guru beragama hindu dan berbangsa India pada masa ini dan hanya terdapat beberapa orang pelajar yang beragama hindu dan berbangsa India, namun saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Happy Deepavali kepada semua pelajar dan ibubapa yang merayakannya. Semoga perpaduan kita sentiasa terjalin buat selamanya dan di mana sahaja.
Suasana hari raya masih lagi dirasai. Malah pihak sekolah juga tidak ketinggalan menyambut hari raya ini bersama dengan seluruh warga SKTP dengan mengadakan jamuan khas hari raya melibatkan setiap kelas, termasuk prasekolah dan pendidikan khas. Sambutan meriah ini telah selesai diadakan pada 18 Oktober 2008 (Jumaat) yang mana murid bukan saja mengadakan jamuan untuk kelas masing-masing, malahan membuat kunjung-mengunjung ke kelas-kelas yang lain dan menikmati juadah yang pelbagai. Hanya…. duit raya je yang tiada.
Walau sehebat mana pun kemeriahan sambutan raya yang belum selesai, pihak sekolah mengharapkan supaya semua pelajar tidak leka kerana bermula 20 Oktober peperiksaan akhir tahun akan dijalankan dan berakhir pada 24 Oktober. Peperiksaan ini sangat penting kerana ianya akan menentukan kedudukan atau status kelas yang akan dihuni oleh pelajar setelah persekolahan bermula pada 2009 nanti.
Ibubapa harus mempastikan agar pelajar hadir ke sekolah sepanjang peperiksaan dijalankan. Sekiranya gagal menghadirkan diri disebabkan kesihatan atau kecemasan, pelajar mesti mengemukakan surat daripada pihak klinik atau hospital, atau surat makluman daripada ibubapa menyatakan sebab-sebab kegagalan hadir ke sekolah untuk menjalani peperiksaan. Surat edaran makluman tentang peperiksaan ini telah dikirimkan melalui pelajar kepada semua ibubapa.
Selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar SKTP.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.