Alhamdulillah, Mesyuarat Agung PIBG selesai dijalankan walaupun secara pemerhatian saya kehadiran ibubapa agak mengecewakan. Apapun bagi saya, jika kurang ibubapa hadir ke mesyuarat PIBG bermakna mereka SANGAT BERPUAS HATI dengan prestasi sekolah. Jika banyak perkara yang tidak puas hati, tentu ramai yang datang untuk komen itu dan ini.
Agak menyedihkan kerana ada sesetengah ibubapa yang membuat tuduhan yang agak ‘keras’ kepada guru-guru di SKTP, sedangkan tidak berani tampil ke mesyuarat untuk memberi penjelasan tentang tuduhan yang dilemparkan. Janganlah bersikap ‘membaling batu sembunyi tangan’. Selalu-selalulah ke sekolah dan berkenalan dengan guru-guru, terutamanya berjumpalah guru-guru kelas yang juga bertindak seperti ‘ibubapa’ anak tuan-tuan/puan-puan ketika di sekolah.
Namun demikian, terima kasih dan tahniah kepada ibubapa/penjaga yang telah hadir ke Meyuarat Agung yang lepas, senarai AJK PIBG yang baru boleh dilihat di web utama sekolah.
Bermula bulan Februari menjanjikan aktiviti yang agak padat di SKTP. Antara aktiviti akan datang yang akan dijalankan ialah Larian Permata (Road Run), Kem Kepimpinan (KURKEP), Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah, Sukan Tahunan dan acara-acara sukan peringkat zon dan daerah. Hampir setiap petang padang SKTP digunakan oleh guru-guru bagi melatih murid-murid. Doakan kecemerlangan murid-murid SKTP dalam apa juga yang mereka ceburi.
Langgan SMSSKTP dan Buletin SKTP untuk mendapatkan maklumat terkini dan pantas daripada pihak sekolah. Jumpa lagi..
Sedang saya mengarang post ini, semua warga sekolah sedang bercuti (termasuk saya) bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina. SKTP mendapat cuti tambahan yang dipohon oleh pihak sekolah pada hari Rabu 28 Januari 2009. Boleh la merancang cuti untuk balik ke kampung.
Setelah kami menutup web dan blog selama hampir 2 hari, beberapa kemaskini telah dilakukan. Alhamdulillah, kami cuba menapak selangkah lagi dengan membuka forum yang memberi peluang untuk warga sekolah, bekas pelajar dan guru, ibubapa, PIBG dan pengunjung setia web sekolah bersama-sama kami berbincang seterusnya merapatkan lagi hubungan silaturrahim yang telah sedia terjalin.
Anda boleh mendaftar dan menjadi sebahagian warga forum kami dengan melayari pautan di bawah
Pada 31 Januari 2009 (Sabtu), sekolah akan menganjurkan satu program yang dinamakan ROAD RUN SKTP 2009 (dulu dikenali sebagai Larian Permata) bertujuan mencungkil bakat murid-murid berdasarkan larian jarak jauh. Larian tersebut akan diadakan di sekitar perumahan Taman Permata dan melibatkan pelajar tahun 4 hingga tahun 6.
Pada masa ini, sekolah sedang dihujani dengan aktiviti latihan berteraskan sukan kerana pihak sekolah perlu menghantar wakil peserta atau pasukan ke kejohanan peringkat zon dan daerah. Ibubapa yang anaknya dipilih oleh pihak sekolah sebagai peserta diharap dapat memberikan sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya.
Tamat cuti pertengahan penggal pertama, dan suara kanak-kanak mula kedengaran di sekolah. Mereka kembali semula setelah berhempas-pulas menjawab soalan-soalan ujian yang dijalankan sebelum cuti persekolahan bermula.
Dan sepanjang minggu ini mereka akan berpeluh sakan kerana pelbagai acara sukan diaturkan, bermula dengan Larian Permata (Road Run) yang dijalankan hari ini, sukaneka, latihan sukan mini dan prasekolah, acara saringan sebelum sukan dan sukan tahunan yang dijadualkan pada 29 Mac 2008 (Sabtu).
Malah pihak Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Bahasa Inggeris juga tidak lepas dari kesibukan kerana acara peringkat zon dan daerah bakal menjelang. Pertandingan Ko Akademik Bahasa Inggeris peringkat daerah diadakan pada 19 Mac (Adakah Adik Nur Raudhah mengekalkan kemenangannya?), manakala Majlis Tadarus peringkat zon akan diadakan pada 22 Mac (Adakah SKTP masih mampu bertahan sebagai johan keseluruhan zon?).
Ibubapa pula diingatkan bahawa Mesyuarat Agung PIBG akan diadakan pada 5 April 2008 (Sabtu) dan pihak sekolah serta PIBG mengharapkan kehadiran tidak menghampakan. Berilah sokongan kepada pihak sekolah dan PIBG demi kecemerlangan anak-anak. Rancanglah masa dan kelapangan untuk menghadirkan diri ke mesyuarat tersebut.
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Blog SKTP bertujuan untuk memudahkan ibubapa mendapat sedikit gambaran tentang senario di SKTP. Ini hanyalah catatan dari Admin, jadi sekiranya ada pihak yang ingin memberi maklumbalas untuk artikel yang dicatat, sila berbuat demikian kerana kami mengharapkan interaksi untuk membolehkan kami memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dan dalam masa yang sama kami cuba memberi penjelasan sekiranya ada sesuatu isu yang timbul.