|

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh
dan Salam Sejahtera,
Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada SK Taman Permata (SKTP),
khususnya kepada AJK ICT SKTP kerana telah memberi peluang kepada saya
selaku YDP PIBG SKTP untuk menurunkan sepatah dua kata di ruangan ini.
Tahniah juga saya ucapkan kepada AJK ICT tersebut kerana telah berjaya
menggendalikan Laman Web SKTP sejak beberapa tahun kebelakangan ini
dengan jayanya. Saya merasakan tidak banyak sekolah yang mampu
membangunkan Laman Web sekolah dan didalam konteks ini usaha pihak SKTP
dan AJK ICT-nya amatlah dihargai.
Di dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan dewasa ini, di mana
maklumat boleh diperolehi di hujung jari, maka peranan yang boleh
dimainkan oleh laman web SKTP ini amatlah besar sekali bukan sahaja
sebagai satu saluran untuk menyampaikan maklumat kepada warga SKTP
tetapi juga untuk menyokong proses pembelajaran dan pengajaran sekolah.
Kesemua perkembangan yang berkaitan dengan ICT (Information &
Communication Technology) menunjukan masyarakat dunia pada hari ini
telah mula membudayakan laman maya/siber sebagai pusat rujukan yang
mudah, cepat dan berinformasi. Malah kita akan menjadi ketinggalan jika
sekiranya kita tidak licik menggunakan sistem atau aplikasi yang
terdapat di internet untuk mencari, mengumpul dan menguruskan maklumat.
Oleh itu, saranan saya kepada semua warga sekolah dan bekas warga
sekolah agar selalu melayari Laman Web SKTP dan sekaligus memberi
sokongan kepada kejayaan dan kelangsungan Laman Web SKTP ini.
Adalah menjadi harapan saya agar Laman Web ini akan selalu
dikemaskinikan agar maklumat yang ingin disampaikan adalah yang terkini.
AJK ICT SKTP mesti memastikan bahawa Laman Web SKTP adalah mesra
pengguna, mudah di “access”, mengandungi maklumat dan gambar-gambar yang
menarik mengenai segala aktiviti SKTP dan PIBG. Cabaran penting yang
perlu digalas oleh AJK ICT SKTP ialah untuk memastikan agar Laman Web
ini kerap dikunjungi atau mempunyai kadar “hit” yang tinggi dan
seterusnya mendapat tempat di hati pengunjung yang ada hubung kait dengan SKTP.
Saya mengambil kesempatan ini juga untuk
menasihati para pengguna Laman Web SKTP dan aplikasi yang terkandung di
dalamnya agar sentiasa berhati-hati di dalam setiap tulisan atau
perkataan yang digunakan. Janganlah menjadikan Laman Web ini sebagai
satu medan untuk menyebarkan fitnah atau mencari salah orang
semata-mata. Gunakanlah kemudahan ini untuk menyumbang dan menjana idea
yang bernas dan praktikal untuk kemajuan SKTP dan warganya. Di dalam hal
ini, AJK ICT SKTP mestilah bijak serta cepat menangani dan sentiasa
menyelia tulisan atau kata-kata yang digunakan oleh pengunjung agar
segala kekeliruan, fitnah dan seumpanya dapat di atasi di peringkat awal
lagi.
Sekian dan selamat melayari laman web SKTP.
MUHAMMAD ISA OTHMAN
Yang Di Pertua,
Persatuan Ibubapa dan Guru,
SK Taman Permata.
(isa@petronas.com.my) |