|
Tujuan-tujuan
Persatuan
a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi
kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam
meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi
kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan
mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah
bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam
sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara
memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya;
dan
e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk
berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan
kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan
pengajaran dan pembelajaran
Fungsi Persatuan
Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau
program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang
dinyatakan di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga
kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan
meningkatkan kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi
dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;
d) meningkatkan kecerian premis Sekolah supya dapat
mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti
dan program pendidikan
Keanggotaan
Persatuan
Anggota Persatuan terdiri daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan
c) warganegara Malaysia yang diluluskan permohonan untuk
menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah
atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut
mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan
Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi
ex-officio dan Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa
Persatuan
Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang
dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG
hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap
Mesyuarat Agung Tahunan.
Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada
warganegara Malaysia sahaja.
Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) .......... orang Ahli Jawatankuasa
Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa
PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.
Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai
Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat
Persatuan.
Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah
antara 1 hingga 11 orang.
Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota
Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang
tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi
1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG
berkenaan.
Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan
subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan
(Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah
atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang
berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang
bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa
PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.
Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah
bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat
Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu
tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.
Jika berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG,
Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa
Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota
Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota
Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari
selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa
PIBG
Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur
kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas
perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa
bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat
Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996
serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG
dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas
kesempurnaan perjalanan mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani
minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta
memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh
semua anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam
menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.
v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada
bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru
Besar atau Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang
Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan
dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari
semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku
Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam
menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua
semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan
Persatuan.
ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan
dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat
Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada
Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan
dengannya.
v) Menghantar segala laporan dan aktiviti Persatuan dan
minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut
mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang
Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan
Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira
kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1
Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1
Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira
yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan
Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah
diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan
hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat
berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang
diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat
Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang
ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.
iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan
daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan
mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun
Persatuan pada hari yang sama.
v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang
Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari
akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.
Lain-lain jawatan
Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah anggota
ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada
Jawatankuasa PIBG dan Persatuan.
Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar atau Pengetua
adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung
Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh
mengundi;
ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian
Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan
supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat
dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan
kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan dasar-dasar
mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan
dengan pentadbiran sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat
Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota
Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan
dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;
v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan
dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang
berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan
fungsi Persatuan;
vii) memastikan sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak
mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang
menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut
peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman
dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota
Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:
aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun
kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang
diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Kuorum
Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti
berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3
kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak kurang 2/3
daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung
Tahunan
Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum
akhir bulan Mac.
Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir
bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan
dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru
Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.
Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah
diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari
sebelum tarikh Mesyuarat.
Sekiranya kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan
tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan,
Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa
PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota
Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan
dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.
Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi
perkara-perkara berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan
yang lalu;
c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;
d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan
berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan kepada
Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh
Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi
kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum
diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab memilih
pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta
menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan
kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah
dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan
penyokong; dan
c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan
yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih
menjawat jawatan yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung
Tergempar
Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam
keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;
b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada
jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21
hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh
penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan
Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis
mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan
kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh
Mesyuarat hendak diadakan.
Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada
tujuan Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata
Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada
Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai
Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan,
dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada
Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat
Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam
tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya
3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.
Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota
Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh
Mesyuarat.
Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota
Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa
PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.
Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat
sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan
dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua
hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota
berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.
Punca-Punca
Pendapatan Persatuan
Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak
boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan
badan-badan lain;
c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program
unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar
Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank
tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.
Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan
hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari
wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini,
Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi
........................ pada satu-satu masa.
Perbelanjaan wang
Persatuan
Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang
Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah
kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan
tujuan-tujuan Persatuan.
Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun
Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang
Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada
berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan
sentiasa berbaki kredit.
Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31
Disember tahun semasa.
Penyimpanan akaun
pendapatan dan perbelanjaan
Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit
hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh
anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit
serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan
hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan
Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana
yang berkenaan.
Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan
Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan
memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.
Harta Amanah
Persatuan
Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta
alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa
harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat
kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan
kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah,
sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk
digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau
sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa
ke semasa.
Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh
dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun,
melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang
diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan
Persatuan
Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan
hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar
atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.
Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar
hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan
dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota
Persatuan yang hadir.
Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai
daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.
Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang
dicadangkan oleh Persatuan.
Larangan
Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk
merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran
dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah
dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.
Persatuan bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak
mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak,
perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya
sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat
oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang
mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada
Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan
dan panduan.
Persatuan tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi
menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan
Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat
Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian
Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
Persatuan tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru
di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja,
pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi,
pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau
berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau
tidak.
Tafsiran
Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada
Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui
Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan
sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya
hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di
kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan
tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah
dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.
Guru Besar atau Pengetua hendaklah memulangkan Sijil
Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan
dibubarkan.
|